1. SEJARAH
DENGAN izin Allah juga
Rumah Puisi Hasyuda Abadi menerima kehadiran para penulis dan penggiat
susastera sekitar Kota Kinabalu dalam Progam Nge’teh dan Baca Puisi pada pagi
22 April 2016. Rumah puisi yang disebut oleh Prof Dr Siti Zainon Ismail
(sasterawan dan budayawan Malaysia) sebagai ‘RupHA’ mempunyai dua misinya iaitu
pertama menempatkan khazanah buku-buku yang saya miliki dan kedua menjadikannya
sebuah premis susastera dalam menggerakkan kegiatan-kegiatan persuratan para
penggiatnya. Ada juga yang bertanya mengapa rumah puisi? Jika ada rumah
terbalik sebagai satu tarikan pelancongan yang terletak di Tuaran, Sabah,
sebagai satu jenama yang dikenali sudah tentu tiada bersalahan jika ada rumah
puisi.
Rumah puisi pada saya bukan semata-mata
berfungsi puisi dalam corak aktivitinya bahkan akan menyumbang ke arah
kepelbagaian kegiatan yang menarik. Seperti pernah saya saksikan sosok sebuah
rumah puisi di Ain Angek, Sumatera iaitu Rumah Puisi Taufik Ismail, saya
berazam menamakan rumah keluarga sebagai rumah puisi di mana di dalam rumah itu
ada koleksi buku, ada kegiatan-kegiatan sastera, jualan buku, ada kafe dan
sebagainya. Alhamdulillah, sebahagian impian itu saya telah terlaksana.
Saya namakan pustaka di RupHA sebagai
Pustaka Iqbal Nazim atau P.I.N. Pustaka ini merupakan impian dan khazanah
keluarga. Ini sahaja harta yang akan saya wariskan. Tiada aset yang lebih
bermakna dan bernilai dari sebuah rumah kecil yang kami sekeluarga diami. Rumah
Puisi saya bersama isteri tercinta, penyair Sahara Jais dan anak-anak
serta cucu-cucu tersayang. Di sinilah saya mengajak rakan-rakan bermusyawarah,
berbincang, berserasehan, menjernihkan fikiran dan sebagainya. Di sini akan
disemai rasa persahabatan dan persaudaraan.
PIN ditubuhkan pada 2009 bermula di Ramin
8 Taman Puterajaya Telipok kemudian berpindah ke lokasi baharu apabila Rumah
Puisi Hasyuda Abadi siap dibina pada 2010. Pada 2015 pula PIN telah
ditambahbaik.
Pustaka mini ini menyimpan lebih kurang 6 ribu judul buku yang
meliputi pelbagai bidang seperti sastera, agama, politik, budaya dan majalah.
Majalah-majalah yang tersimpan di pustaka ini pula berkaitan dengan dunia
sastera tempatan dan luar negara seperti Brunei dan Indonesia seperti Dewan
Sastera, Dewan Budaya, Dewan Bahasa, Pelita Bahasa, Horizon, Wadah dan
majalah-majalah berkala. Selain itu, majalah-majalah keagamaan seperti Solusi,
Anis, al-Ustaz dan majalah-majalah lama yang sudah tidak dikeluarkan lagi pada
masa ini. Koleksi buku-buku ini mulai tersimpan sejak awal 1980-an. PIN juga
ada mengumpul majalah-majalah lama seawal 1960-an berkaitan dengan dunia
hiburan seperti Majalah Filem, Purnama Filem dan Mustika Filem.
Selain mengumpul khazanah buku, PIN juga
ditubuhkan sebagai pondok membaca di Kampung Gudon di samping mengadakan
aktiviti-aktiviti sastera dan khidmat sosial yang lain seperti kelas Iqrak dan
al-Quran.
Ungkayah ini adalah sebagai permulaan
kepada suatu pendekatan susastera yang lebih besar sebenarnya. Bukankah
susastera itu merupakan rangkaian kehidupan manusia secara fitrah? Kehidupan
yang memerlukan komunikasi melalui bahasa, nilai dan juga pelbagai ciri
semiotik tidak mungkin melepaskan elemen sastera tersebut. Dalam pergaulan
seharian sastera merupakan warna yang mendekatkan kita antara satu sama lain,
meskipun barangkali bahasa kita berbeza. Allah menyukai keindahan, sebab itu
sastera memberikan refleksi yang amat utuh buat umat manusia.
Walaupun ada sesetengah orang yang menulis secara langsung namun kita
percaya dia juga sukakan keindahan. Mungkin keindahan yang difahaminya berbeza
dengan apa yang kita fahami. Apa yang kita inginkan sebuah karya itu
mengandungi nilai-nilai yang positif. Pada sisi yang lain, ada juga pandangan
bahawa tidak semestinya bahasa yang santai itu begitu polos secara literasinya
namun masih mempunyai makna berlapis yang mengindahkan karya berkenaan.
PIN menyimpan pelbagai genre sastera,
pelbagai jenis buku yang mungkin tidak semua orang menyukainya. Persoalannya
sudah tentu bukan pada sosok bahasa atau pendekatan penulisnya tetapi intipati
atau abstraksi karya berkenaan memberikan impak pemikiran yang bernilai
mulia. Ahli falsafah tersohor, Rene Descartes, pernah mengatakan, “Membaca buku
yang hebat ibarat mengadakan dialog dengan para cendekiawan yang cemerlang
daripada masa lampau. Pemikiran mereka terus hidup dan berpengaruh
sehingga kini. Mereka menuangkan gagasan mereka yang terbaik semata-mata.”
Pernyataan Descrates ternyata benar
apabila mengingatkan kata-kata Sayidina Ali,”Ikatlah ilmu dengan
menuliskannya.” Menulis bagai mengikatkan sesuatu. Seolah-olah penulis, pada
saat tulisannya lahir dan dapat dibaca oleh dirinya sendiri atau orang lain,
melakukan semacam akad atau perjanjian. Sang penulis berjanji bahawa hal yang
ditulisnya itu benar menurut pemahamannya dan dia terikat dengan hal yang
dituliskan.
Ternyata buku yang hebat benar-benar
mempengaruhi manusia dan zamannya, benar-benar mengusik dan menyentuh jiwa,
memaknakan hidup pembaca. Sepanjang sejarah, buku mampu membuat orang menangis,
ceria, gembira, ketawa bahkan bangun menentang ketidakadilan. Itulah kesan yang
pernah dirasakan apabila membaca karya Shahnon Ahmad dalam Ranjau Sepanjang Jalan atau novel Salina karya A.Samad Said. Demikian
juga dari Pramoedya Ananta Toer dalam Cerita
dari Blora atau Gadis
Pantai, J.K. Rowling dengan siri Harry
Potter, Sayidina Ali dengan Nahjul
Balaghah, Hamka dengan di Bawah
Lindungan Ka’bah, Karl Marx dengan Das
Kapital, Imam al-Ghazali dengan Ihya-Ulumiddin dan
banyak lagi. Penulis terkenal Amerika, Barbara Tuchman mengatakan, “Buku adalah
pengusung peradaban. Tanpa buku, sejarah menjadi sunyi, sastera bisu, ilmu
pengetahuan lumpuh dan fikiran menjadi kaku.”
Kita percaya setiap rumah ada koleksi
buku masing-masing. Tertakluk kepada minat yang dimiliki. Mungkin sang isteri
meminati novel-novel sambil sang suami tertumpu kepada buku-buku politik.
Dengan cara memiliki itu tidak seia menyebabkan buku bukanlah suatu keutamaan
dan dianggap aset dalam keluarga. Bagaimanapun, berbeza dengan emak mertua
saya, beliau begitu sayangkan majalah-majalah lamanya yang diterbitkan sekitar
tahun-tahun 50-60an, apabila saya beria-ia memulihara koleksi klasiknya itu,
beliau sering mengingatkan supaya menjaga dengan baik. Pengalaman saya ketika
bersama Allahyarham Datuk Haji Shuhaibun Yussuf yang menamakan terataknya
‘Dangau Budaya’ pula amat menyedihkan kerana hasrat membina sebuah khutub kanah
bersebelahan rumahnya tidak tercapai sehinggalah beliau kembali ke rahmatullah.
Rumahnya begitu sarat dengan pelbagai koleksi buku dan artifak budaya, sayang
sekali andai semua itu tidak disimpan di satu tempat yang lebih baik.
Seorang bibliofil akan memburu buku ke
mana-mana sahaja untuk koleksi peribadinya. Murah mahal buku tidak menjadi
persoalan, asalkan buku itu dapat dimlikinya. Beberapa tahun lepas, saya
bersama dua orang sahabat menjadi ‘penggila buku’ kerana sanggup terbang ke
Indonesia semata-mata membeli belah buku. Saya pecaya ini bukan disebabkan kami
penulis tetapi lebih daripada sebagai bibliofil. Sahabat saya Abd Naddin Haji
Shaiddin, seorang wartawan siap siaga dengan catatan buku-buku yang perlu
sahaja ketika dalam pencarian di gedung buku. Beliau meminati sejarah
nusantara, seperti seorang lagi sahabat Tuan Haji Hussain Qasau yang juga
mentor kami. Saya biasanya mencari buku-buku kajian sastera, karya-karya
sastera terkini dan buku-buku yang bernilai klasik dan sukar didapati. Kegilaan
yang barangkali dianggap orang ialah apabila beli belah buku itu berharga
jutaan rupiah! Kini beliau memiliki sebuah pustaka 'Arena Pustaka Subhan Amanna
Gappa' yang terletak di Puncak Iqra', Papar, Sabah.
Tidak dapat dibayangkan, berapakah
jumlah buku di pustaka Haji Hussain Qasau di Puncak Iqra'. Begitu juga koleksi
buku Abd Naddin di rumahnya, yang belum saya kunjungi. Sedang saya baru mampu
mengumpul empat ribu lebih judul buku. Jumlah yang kecil ini menarik minat saya
menempatkan sebuah khutub kanah di dalam rumah. Pada penghujung tahun 2015,
saya telah membesarkan pustaka yang kecil itu untuk memberi keselesaan kepada
ahli keluarga dan juga teman-teman termasuklah para pelajar universiti yang
berkunjung. Mudah-mudahan sahaja pustaka ini memberi kegunaan kepada yang
memerlukan tidak semata-mata dalam kalangan ahli keluarga, malah lebih penting
lagi ialah budaya membaca itu menjadi minat utama.
Dengan motto: penghubung ilmu, di
sinilah cinta diabadikan buat sesiapa jua yang memafaatkan. Ada masanya kita
ibarat daun dan membiarkannya kering dan reput sendiri, namun saya redha andai
daun itu nanti biarlah menjadi baja untuk menumbuhkan dengan suburnya
bibit-bibit di persekitarannya. Ini hanyalah analogi biasa yang lazim kita
pandang di sekeliling. Malah pada setiap kejadian itu terlahir sesuatu yang
bermakna. Saat bersendirian dan merasa tiada apa-apa, eloklah kembali muhasabah
dan membaca. Biarlah semadi kita di dalam himpunan buku-buku yang masih terus
dicari dan dibaca.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan